Pernahkah anda tertanya-tanya, bagaimanakah penulis-penulis blog travel mampu menampung perbelanjaan trip mereka? Atau di manakah web programmer mendapat habuan walaupun tutorial online mereka percuma? Caranya mudah sahaja, mereka menjana pendapatan mereka menggunakan website sendiri. Mungkin anda mempunyai blog sendiri, dan mungkin anda rasa sudah tiba masanya untuk anda meningkatkan lagi potensi blog tersebut dari sekadar tempat berceloteh? Pada era internet ini, terdapat pelbagai cara kreatif untuk menjana duit yang boleh anda lakukan di hujung jari.

 

  1. Pastikan website anda unik

Sebelum anda mempelajari cara-cara menjana duit menggunakan website anda, anda perlu terlebih dahulu memastikan bahawa website anda unik, dan berpotensi menjana trafik.

Sekiranya website anda tidak mampu menjana trafik, anda boleh mencuba seribu cara untuk menjana duit, namun tiada satu cara pun yang akan menjadi kerana tiada sesiapa yang melayari website anda. Samalah seperti kedai, sehebat manapun tuan kedai mengendalikan kewangan, kedai itu tidak akan menjana wang jika tiada pelanggan yang muncul.

Namun, sekadar unik dari segi penampilan, design atau reka bentuk adalah tidak memadai. Paling penting, website anda perlu unik dari segi perkara atau topik yang ditawarkannya, serta lain dari yang lain. Ini dipanggil website niche.

 

  1. Website niche

Website niche adalah website yang berkisar tentang topik khusus yang tertentu, samada sesuatu hobi, bidang, perbincangan, dan sebagainya. Niche bermaksud spesifik, atau khusus.

Misalnya, adakah blog anda fokus kepada sukan? Hmm, tidak cukup unik, kerana terdapat pelbagai beribu-ribu lagi blog sukan di internet. Oleh itu, website anda perlu lebih khusus. Adakah blog anda fokus kepada perbincangan berkaitan kecederaan pemain ragbi, refleksi anda sendiri, dan sekali-sekala, temu bual anda dengan pemain-pemain ragbi itu sendiri, yang berkisar tentang susah senang mereka sebagai pemain profesional? Inilah yang dikatakan sebagai topik niche, maknanya topik yang website anda tawarkan adalah unik dan lain dari yang lain.

Terdapat pelbagai topik niche dan khusus yang anda mampu fokus dalam website anda, sama ada hobi anda sendiri dan minat yang mendalam tentang sesuatu perkara. Yang penting, pastikan anda ikhlas dan menjiwai hobi atau perkara tersebut, agar anda mampu menghasilkan content atau kandungan yang berkualiti.

 

  1. Hasilkan kandungan yang berkualiti, dan konsisten

Sekarang anda sudah tahu betapa pentingnya keunikan sesuatu website yang mampu menjana trafik, anda boleh mula membina content atau kandungan untuk website tersebut. Sekiranya anda memang sudah mempunyai website sendiri yang mengandungi artikel, gambar dan sebagainya, layarilah semula website anda dari perspektif seorang pengunjung, dan tanya diri sendiri dengan jujur sama ada kandungan website anda berkualiti atau tidak. Jika ya, teruskan usaha, dan jika tidak, baikilah kelemahan kandungan anda.

Website yang mempunyai kandungan yang berkualiti akan dapat membina pengunjung setia, regular visitors atau fanbase, yang akan berkunjung ke website anda dari semasa ke semasa. Malah, mereka juga akan ‘share’ kandungan website anda di laman sosial seperti Twitter dan Facebook, sekiranya mereka memandang tinggi dan mempercayai kualiti kandungan website anda. Maka, website anda bukan sahaja menjana trafik konsisten dari pengunjung setia, malah akan menjana trafik baru dari pengunjung baru juga.

Oleh itu, pastikan kandungan anda berkualiti. Ini bergantung kepada topik, perkara dan subjek niche yang merupakan fokus website anda. Pada masa yang sama, pastikan kandungan anda konsisten. Elakkan keluar tajuk, dan pastikan anda menawarkan kandungan baru pada kadar yang konsisten, sama ada setiap hari, seminggu sekali dan sebagainya. Anda juga perlu ingat, bahawa kualiti adalah lebih penting dari kuantiti.

 

 

  1. Jana duit melalui iklan (ads)

Memandangkan anda sudah mempunyai website yang berkualiti dan berpotensi menjana trafik, sekarang anda sudah bersedia untuk mempelajari cara-cara website anda boleh menjana duit. Cara yang paling umum untuk menjana duit ialah melalui iklan, yang lebih dikenali di internet sebagai “ads”. Antara platform yang biasa digunakan untuk ads ialah Google Adsense dan Facebook Ads.

Caranya mudah sahaja, paparkan iklan dalam website anda, dan website anda akan menjana income apabila pengunjung melihat iklan tersebut, dan lebih pendapatan lagi apabila mereka klik iklan tersebut. Walaupun ads memerlukan trafik yang kuat dan tinggi sebelum anda mampu menjana pendapatan, cara ini masih popular sebagai sumber pendapatan pasif.

 

  1. Affiliate marketing

Affiliate marketing secara kasarnya bermaksud pemasaran bersama. Affiliate marketing juga merupakan cara yang popular untuk menjana duit melalui website. Namun, cara ini memerlukan lebih usaha dari anda, dan bukan sekadar memaparkan iklan seperti ads. Sebaliknya, anda perlu membuat artikel tentang sesuatu produk, dan kemudiannya menyediakan pautan atau link untuk merujuk pengunjung anda kepada penjual produk tersebut.

Oleh itu, pastikan kualiti kandungan website anda tinggi, agar anda dapat membina kredibiliti dan kepercayaan pengunjung. Elakkan dari membuat artikel yang tampak berunsur iklan dan promosi untuk produk tersebut, sebaliknya tulis artikel yang lebih mendalam dan spesifik yang mampu memanfaatkan pembaca, agar mereka tertarik untuk mengetahui selanjutnya tentang produk tersebut. Misalnya, anda boleh menulis cara-cara untuk melayari internet dengan selamat, dan cara-cara untuk memastikan komputer bebas virus. Untuk melakukan affliate marketing, anda kemudiannya perlu menyediakan pautan link yang akan merujuk pembaca kepada program-program anti-virus online.

 

  1. E-commerce
  • commerce pula lebih kurang sama seperti affiliate marketing. Bezanya ialah anda tidak mempromosikan produk lain, tetapi produk anda sendiri. Oleh itu, cara ini lebih menguntungkan kerana anda mendapat pendapatan penuh, dan bukan hanya mendapat sebahagian keuntungan sahaja.

Namun, anda perlu memastikan anda mempunyai produk sendiri. Contohnya, anda menulis artikel tentang senaman-senaman yang dapat dilakukan sepanjang tempoh rehab atau pemulihan kecederaan sukan, dan kemudiannya menyediakan pautan kepada produk sukan yang anda telah reka dan pasarkan untuk membantu melakukan senaman-senaman tersebut.

 

  1. Menjual kursus dan servis khidmat

Menawarkan kursus dan servis khidmat merupakan cara yang paling konsisten dan pasti melalui website anda, namun memerlukan usaha yang lebih dari yang lain. Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana pakar kewangan, pemain muzik, dan website tentang tips-tips programming mampu menjana pendapatan mereka? Mereka menjana duit melalui website mereka dengan menawarkan perkhidmatan mereka. Misalnya, pakar kewangan menawarkan seminar pengendalian wang, manakala pemain muzik menawarkan tutor piano.

Walaupun mereka menawarkan kandungan secara percuma melalui website mereka seperti artikel, tips-tips dan sebagainya, namun kandungan mereka mempunyai kualiti yang tinggi. Hal ini disebabkan mereka telah menjadi pakar atau arif dalam sesuatu bidang yang khusus. Oleh itu, website mereka mendapat minat dan kepercayaan pembaca, yang kemudiannya berminat untuk menyertai khidmat yang ditawarkan untuk mempelajari lanjut tentang minat, hobi, topik atau perkara yang menjadi fokus utama website niche tersebut.

Justeru, terdapat pelbagai cara yang anda boleh cuba untuk menjana duit melalui website anda. Mungkin sudah tiba masanya untuk website anda menjana wang untuk anda! Namun, pastikan juga kandungan website anda berkualiti dan unik, kerana tanpa pengunjung, website anda tidak dapat menjana duit. Sama ada anda ingin menjana income pasif melalui ads, atau ingin berusaha lebih dengan menawarkan pemasaran atau khidmat melalui website anda, keputusannya terletak di hujung jari anda sendiri.

Business

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Hi, you can choose to chat with our representative below.

Live Chat With Us Now